CARIAN ANDA

Tuesday, November 30, 2010

FADILAT BISMILLAH 6


  • Makbul segala hajat dan cita-cita.
  • Luas rezkinya.
  • Jika ditiup kpd perempuan nescaya kasih ia kepada kita.
  • Menang dalam peperangan.
  • Penerang hati.
  • Dijauhkan dari segala penyakit.
  • Dibaca 70 kali tiap-tiap hari aman dari ancaman raja-raja dan pembesar yang zalim yang hendak membunuhnya.
  • Dibaca ditempat yahng suci nescaya dapat melihat malaikat, jin dan syaitan.
  • Dibaca dimalam jumaat 20 kali boleh melihat orang didalam kubur.
  • Aman daripada binatang2 buas.
  • Air laut menjadi tawar.
  • Terlepas daripada terkena bunuh juka dibaca kepada tubuh badan.
  • Jika ditulis dan dijadikan azimat atau dibaca pada sawah aman daripada ancaman babi, tikus atau burung.
  • Terselamat daripada bahaya musuh dan seteru.
  • Terselamat dari karam dilaut.
  • Jika dibaca pada minyak malam jumaat tiga kali boleh memudahkan perempuan beranak jika meminumnya.
  • Orang yang pekak jika dibaca pada telinganya selama 7 hari nescaya mendengar.
  • Orang gila atau yang dirasuk oleh iblis apabila dibaca ditelinga tiga kali insyaallah lari iblisnya.
  • Boleh tawarkan segala jenis bisa termasuk bisa sengat binatang seperti lebah, ular dan ikan.
  • Boleh tawarkan segala jenis racun dan santau, seperti yang diperbuat daripada miang rebung, ulat buku mati beragan, hempedu katak dan sebagainya.
  • Terkeluar daripada penjara apabila dibaca bersungguh-sungguh.
  • Dijadikan jampi untuk menghalau jin dan syaitan.
Cara untuk merawat pesakit yang menderita kerana perkara diatas; letakkan tangan di tempat yang sakit, tahan nafas dan baca al-Fathihah dan juga ayat Bismillah Enam ini. Tiup tempat tersebut dan urut sedikit. Baca juga ayat ini pada air untuk disapukan pada tempat yang sakit dan untuk di minum. Angin akan keluar daripada pesakit dan diikuti oleh muntah. InsyaAllah.

SUMBER : http://www.facebook.com/#!/notes/pak-ngah-farit-ismeth-emir/fadhilat-bismillah-enam/166820183358470

IBADAH KORBAN



Hikmah amalan sembelih haiwan bantu individu kikis sikap bakhil, wujudkan kerjasama
KITA kini melangkah ke bulan terakhir dalam takwim hijrah iaitu Zulhijjah. Pada bulan ini Allah SWT menganugerahkan kepada kita satu lagi hari kebesaran Islam iaitu Hari Raya Korban atau Aidiladha. Dalam kegembiraan menyambut Hari Raya Korban itu, umat Islam yang berkemampuan dituntut melakukan ibadat korban.

Ibadat korban bermaksud menyembelih binatang tertentu seperti unta, kerbau, lembu atau kambing pada hari ke-10, ke-11, ke-12 atau ke-13 Zulhijjah. Islam mensyariatkan ibadat korban berkenaan sebagai antara ibadat mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT. Di samping itu, ia mengingatkan kita terhadap kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sebagai satu ujian daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang taat. Banyak hadis menekankan keutamaan ibadat korban ini. Antaranya ialah hadis diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tiada sesuatu amalan anak Adam pada Hari Raya Haji yang lebih disukai oleh Allah SWT daripada menumpahkan darah (ibadat korban). Bahawasanya ia (binatang yang dikorbankan itu) datang pada Hari Kiamat dengan tanduk, bulu dan kukunya dan bahawasanya darah (korban itu) mendapat tempat yang mulia di sisi Allah SWT sebelum darah itu tumpah ke bumi. Oleh kerana itu hendaklah kamu berkorban dengan hati yang bersih.” (Riwayat al-Tarmizi)

Melalui hadis ini jelas bahawa korban adalah ibadat atau amalan yang disukai Allah SWT. Maka sudah tentu ia mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT pada Hari Kiamat. Justeru, melakukan ibadat korban menambah lagi amalan kebajikan yang kita lakukan, di samping menjadi penebus dosa kita.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai Fatimah! Berdirilah di sisi korbanmu dan saksikan ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosamu yang lalu.” (Riwayat al-Bazzar dan Ibn Hibban)


Dipetik daripada Kitab Sabilal Muhtadin Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Perbesarkanlah korban kamu, kerana ia menjadi tungganganmu di atas titian siratulmustakim pada Hari Kiamat nanti.”

Begitulah besarnya ganjaran diberikan kepada orang yang melakukan korban. Allah SWT menjanjikan kebaikan kepada orang yang melakukannya dan ia menjadikan binatang sembelihannya itu sebagai tunggangan untuk meniti al-Sirat pada hari akhirat kelak. Walaupun pada zahirnya ia cuma mengorbankan binatang sembelihan, jika dikaji dengan teliti, ia adalah ujian Allah SWT dalam melatih kita supaya sentiasa bersedia berkorban jiwa dan tenaga demi menegakkan agama Allah SWT di muka bumi ini. Selain itu, ia juga ujian bagi melihat sejauh mana kita mensyukuri nikmat kemewahan yang dikurniakan Allah SWT.

Betapa Rasulullah SAW ketika hayat baginda dan juga sahabat sanggup mengorbankan harta, menggadai nyawa semata-mata mendaulatkan agama, inikan pula amalan yang cuma mengorbankan secebis harta demi mensyukuri nikmat yang diterima. Ingatlah setiap pengorbanan yang kita lakukan hendaklah disertakan dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Seandainya ibadat korban yang kita lakukan dicemari dengan sifat riak, takbur, membangga diri dan menunjuk-nunjuk kemampuan, maka tertutuplah rahmat Allah SWT dan nescaya sia-sia ibadat korban itu.

Rasulullah SAW amat menyukai amalan berkorban sehinggakan baginda sentiasa menyarankan sahabat melakukan ibadat korban pada setiap Hari Raya Korban. Justeru, amalan korban itu bukan saja mempunyai kelebihan yang besar, bahkan dilihat dari sudut kerohanian, ia juga dapat mengikis sifat bakhil untuk membelanjakan harta ke arah kebaikan sekali gus membantu mereka yang kurang bernasib baik dengan memberi kegembiraan dan kesenangan dalam hati orang yang menerima terutama kepada golongan fakir miskin bagi turut merasai keriangan hari raya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami menundukkan unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.” (Surah al-Hajj ayat 36)

Melalui amalan ibadat korban ini jelas terbukti ia dapat mewujudkan semangat kerjasama serta saling bantu-membantu di antara semua pihak, sama ada pihak yang melakukan korban mahupun pihak yang menerima.

SUMBER:
http://laman-seri.blogspot.com/2010/11/ibadat-korban-antara-kaedah-umat-islam.html

IBADAH AQIQAH



Ibadah akikah ke atas diri sendiri boleh dilakukan bila-bila masa sahaja, kerana ibadah akikah tidak seperti ibadah korban yang biasanya dilakukan pada hari-hari tasyrik pada bulan Zulhijjah.

Sepatutnya tanggungjawab melakukan akikah di bawah tanggungan ayah. Tetapi harus si datuk melakukan akikah untuk cucunya seperti baginda Rasulullah SAW melakukan akikah untuk kedua-dua cucu baginda iaitu al-Hasan dan al-Husein.

Namun mungkin kerana kegawatan ekonomi menyebabkan akikah tidak dapat dilaksanakan, jadi tidak salah. Malah sah hukumnya dan tetap mendapat pahala sekiranya tuan punya diri melakukan ibadah akikah untuk diri sendiri. Hal ini dapat kita lihat dalam beberapa riwayat bagaimana Rasulullah SAW melakukan ibadah akikah untuk diri baginda.

Adapun persoalan yang mana perlu diutamakan, jawapannya ialah akikah, kerana yang tertanggung ke atas kita sejak kita lahir ialah akikah. Sehinggakan dalam hadis Rasulullah SAW menyebut “terikat” atau “tertanggung” ke atas anak-anak yang lahir. Ini bermaksud tanggungan yang terawal ialah akikah. Maka adalah lebih utama kita mendahulukan tuntutan yang terawal. Walaupun demikian ada pandangan ulama yang mengira ibadah korban dapat melupuskan tuntutan akikah seperti pendapat Ibn Sirin dan al-Hasan al-Basri.

Namun pandangan ini berbeza dengan pandangan jumhur ulama yang berpendapat kedua-dua ibadat itu tidak dapat ganti-mengganti antara satu sama lain. Malah kedua-dua ibadat sunat muakkad itu dilakukan berasingan. Sekiranya duit yang cukup untuk melakukan ibadat akikah, maka lakukan ibadah akikah dahulu. Apabila sudah ada rezeki barulah buat ibadah korban.

Dari segi bahasa, akikah adalah rambut di kepala kanak-kanak. Sementara pengertian akikah dari segi syarak ialah binatang yang disembelih pada hari mencukur rambut bayi. Akikah sebagai ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah SWT sebagaimana penjelasan Rasulullah dengan sabdanya yang bermaksud: “Setiap anak yang lahir itu terpelihara dengan akikahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama.” (Hadis riwayat Abu Dawud, al-Turmidzi dan Ibnu Majah)

Ibnu Majah menerangkan maksud “... terpelihara dengan akikah...” (pada mafhum hadis di atas) adalah bahawa akikah itu sebagai sebab yang melepaskan kanak-kanak tersebut daripada gangguan syaitan yang cuba memesongkannya daripada melakukan kebaikan.

Daripada Salman bin Amir al-Dhabley, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Untuk anak lelaki itu akikahnya. Tumpahkan atasnya darah dan hilangkanlah daripadanya kekotoran dan najis.” (Hadis riwayat Abu Daqud, al-Turmidzi dan Ibnu Majah).

Menurut Imam Ahmad bin Hanbal, bahawa apabila seseorang kanak-kanak itu mati dalam keadaan belum diakikahkan lagi, maka anak itu tidak dapat mensyafaatkan kedua-dua orang tuanya di akhirat kelak. Hukum akikah itu adalah sama dengan ibadah korban iaitu sunat muakkad kecuali dinazarkan menjadi wajib.

Penyembelihan akikah adalah pada hari ketujuh dari kelahiran bayi atau pada hari ke-14 atau ke-21. Jika tidak dapat maka bila-bila masa selagi anak itu belum baligh. Jika anak telah baligh, maka gugur tuntutan atas walinya dan sunat bagi dirinya (individu yang berkenaan) mengakikahkan untuk dirinya sendiri.

Bagi anak zina, akikahnya sunat dilakukan oleh ibunya kerana nafkah hidup anak zina itu tanggungan ibunya bukan bapanya. Demikian pendapat Ibnu Hajar dan Syeikh Ramli, manakala Khatib Syarbini pula berpendapat, adalah tidak sunat bagi ibu mengakikahkan anak zinanya meskipun si ibu memberi nafkah kepadanya.

Anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing.

Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat agar menyembelih akikah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Hadis riwayat al-Turmidzi).

Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan bahawa Rasullullah SAW menyembelih akikah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (Hadis riwayat Abu Dawud)


Kemusykilan:
hidangan majlis tu ialah daging kambing akikah, boleh ke daging ibadah akikah tu diberi makan kepada orang kafir? bagaimana pula dengan daging ibadah korban

Jawapan:
Aqiqah disebut dalam hadith :-

” Bersama bayi yang lahir itu aqiqah, maka kerna itu mengalirkanlah darah (sembelihan) untuknya, dan jauhkan baginya segala kesakitan (godaan syaitan) ( Riwayat Al-Bukhari)
“Setiap anak perlu dipajakkan (terhutang) dengan aqiqah, disembelih untuknya pada hari ketujuh umurnya, dan diberi nama dan dicukur rambut kepalanya” ( Riwayat Ashabus Sunan )
Aqiqah itu pula dari sudut bahasanya adalah ‘tolakan’, iaitu tolakan dari gangguan dan godaan Syaitan.
Berkenaan beri kepada non muslim, saya dapati tiada dalil mahupun pendapat ulama yang meletakkan syarat bahawa si penerima adalah orang Islam sahaja. Justeru…wallahu a’lam.. saya kira ianya adalah harus.
Cuma sudah tentu yang lebih baik adalah penerima dari kalangan orang Islam kerana diharapkan adalah sipenerima memahami lalu mendoakan si kanak-kanak tadi apabila menerima hidangan hasil aqiqah itu.  Jika beri pada bukan Islam, manalah mereka faham aqiqiah tu apa ..
Falsafah ‘aqiqah adalah sebagai tanda kesyukuran bagi anugerah cahaya mata yang dikurniakan oleh Allah SWT. Justeru ia lebih baik di kongsi sesama Islam. Ini kerana ia juga seumpama satu peringatan kpd yg lain untuk beraqiqah juga untuk anak mereka (jika belum). Non-Muslim tiada peruntukan aqiqah..
Sebagai tambahan info ; Kebanyakkan ulama menggalakkan daging dari hasil sembelihan itu dimasak terlebih dahulu sebelum di edarkan kepada faqir miskin, jiran tetangga walaupun mereka kaya.
Bagaimanapun, menurut satu pandangan :-
” Daging aqiqah dan korban haram diberi kepada bukan Islam kerana korban dan aqiqah merupakan amal ibadah kepada Allah. Ia bertujuan untuk bertaqarrub kepada Allah. Ini ada disebut dalam Fatwa Syeikh Ahmad al Fatthani.
Tapi kalau bukan Islam nak beli satu bahagian daripada daging lembu itu untuk kegunaan peribadi, bukannya utk korban, maka harus hukumnya menurut Syeikh Daud al fatthani dalam Furu’ul masaa’il. “
Komen saya :
Ada benarnya, ini salah satu ijtihad yang sangat boleh dipegang. Bagaimanapun, ia tidak qat’ie dan ia masih dalam kategori perkara furu’/cabang.
Jika hujjah utama oleh beberapa ulama terulung tempatan di atas adalah “ia hal taqarrub”..maka anda boleh berhujjah bahawa hal taqarrub itu adalah terhenti di ketika niatnya, sembelihan dan hidangan dibuat..adapun hal ehwal mengedarkannya tidak lagi termasuk dalam hal yang menjadi syarat kepada taqarrub itu. Ia lebih kepada hal kemasyaratan sahaja.
Seperti solat.. ia adalah hal taqarrub kpd Allah..maka ada rukun dan syaratnya untuk memenuhi taqarrub yang disasarakan demikian juga solat di tempat yang suci adalah syarat sah utk taqarrub solat ini, tapi samada sejadah itu dibeli dari kedai non muslim atau tidak.. maka ia tidak memberi kesan kpd ibadah solat…ia cuma kurang digalakkan sahaja.
Dan mengedarkannya daging aqiqah kpd muslim sahaja, bukanlah menjadi syarat sah aqiqah dalam semua mazhab (kecuali jika saya tersilap, iaitu ada mazhab yg menajdikannya syarat sah aqiqah).
Malah jika seseorang bersedeqah kepada seorang bukan Islam di ditemuinya di keadaan yang amat memerlukan. Adakah tiada pahala baginya Ini tidak benar sama sekali, derma dan kebaikan yang dilakukan oleh Umat Islam adalah bersifat ‘taqarrub’ kepada Allah, dan ia pasti diterima walaupun penerima bantuan itu seorang kafir. Cuma, jika ada dua peminta antara Muslim dan kafir, sudah tentu lebih besar pahalanya diberikan kepada si Muslim. Bagaimanapun, ia tidak menjadikan hukum HARAM untuk diberi kepada si bukan Islam.
Justeru ia kekal isu yang sangat furu’ dan bebas memilih dalam kedua-dua fatwa ulama. wallahu ”lam.  


Sumber: UtusanOnLine (Bicara Agama)
http://laman-seri.blogspot.com/2008/06/utamakan-akikah-daripada-ibadat-korban.html
http://ibnuabbas.wordpress.com/2007/12/12/hukum-daging-aqiqah/

TEMPAT ELAK SUAMI DAN ANAK2



Anita wanita yang mempunyai kerjaya hebat dan sentiasa sibuk. Dia juga amat bertanggungjawab terhadap tugas-tugas isteri dan ibu yang disandangnya di rumah. Ada masanya dia merasakan penderaan atas emosi dan fizikal jika terlalu letih, tertekan dan terdera oleh keadaan.

Bukankah bagus jika dapat duduk di rumah, menikmati harta suami dan cukup menjaga anak saja daripada hidup dengan beban tanggungjawab pekerjaan yang meletihkan? Tetapi, bukankah sifat-sifat wanita yang sempurna itu ada pada mereka yang mandiri, kuat bekerja, berilmu dan bermuamalah dengan masyarakatnya? Kalau hanya duduk di rumah dan tidak berfungsi sebagai insan kamil pun tidak berguna juga, bukan? Pasti timbul juga rasa bosan, jemu dan malas akibat persekitaran yang tidak sihat.

Wanita bekerja dituntut bersikap cekap, cepat, cerdas dan cemerlang mengharungi rintangan kehidupan. Alahai kasihannya mereka yang kadang-kadang tidak dihargai oleh suami dan anak-anak. Hanya iman di dada yang mampu membangkitkan semangat mereka untuk terus berjuang sampai nafas yang terakhir.

Oleh itu tidak salah apabila isteri mempunyai tempat-tempat rehat yang baik untuk menenangkan fikiran dan perasaannya. Di situlah dia mendapatkan kebebasan sebagai seorang insan secara bersendirian. Bukankah kita semua datang ke dumia ini sendirian dan akan pergi ke alam kuburpun sendirian, dibangkitkan di akhirat sendirian dan disoal di hadapan Rabbul Jalil Allah sendirian? Jadi tidaklah salah kalau kita berfikir tentang diri sendiri untuk menyelamatkan hidup di dunia dan di akhirat.

Bukankah ramai isteri dan ibu melalaikan anggungjawabnya sebagai hamba Allah kerana gangguan suami dan anak? Mereka terlalu sibuk dengan rumahtangga dan kerjaya sehingga tidak mampu beribadah kerana keletihan.

Kalau dahulu sebelum berkahwin boleh solat dengan sempurna dan membaca al-Quran menurut rutin, tetapi kini tidak mampu lagi mengamalkan semua itu kerana sibuk menguruskan suami dan anak-anak.

Tapi anehnya, mengapa sempat pula untuk shopping? Bercuti setiap tahun dan melabur duit untuk kecantikan sentiasa ada masa. Jika dibiarkan keadaan sebegini, kita akan berasa kering rohani, hilang daya kawalan iman dan akhirnya tenggelam dalam arus dunia yang melalaikan. Kebahagiaan yang dirasai tidak lagi nikmat dan berkat kerana Allah pasti akan mencabut rasa tenteram dari hati orang yang lalai.

Kepada isteri-isteri yang mengeluh tidak bahagia, didera anak dan suami, marilah kembali ke jalan Allah. Carilah tempat-tempat untuk anda melepaskan diri dari kongkongan suami, anak dan kerjaya yang menekan perasaan anda. Tempat-tempat yang tenang itu adalah :

1 – Di atas sejadah

Ramai yang berdisiplin untuk dunia tetapi tidak untuk akhiratnya. Mengapa anda boleh menjaga diet atau menghadiri kelas-kelas senaman dengan disiplin sedangkan solat selalu tertinggal atau ditinggalkan ?

Anda boleh berjaga semalaman untuk melayan suami tetapi tidak pula ingat malam pertama di dalam kubur. Anda boleh mengikut apa saja kehendak anak, tetapi tidak mahu mengikut suruhan Allah. Bukankah anda seolah-olah hamba kepada suami dan anak-anak jika terlalu cintakan mereka melebihi diri sendiri?

Bukankah diri anda juga berhak mendapatkan kebebasan dan tidak boleh diperhamba oleh manusia lain? Jika anda berasa susah hati kerana suami dan anak-anak, sesungguhnya itu adalah balasan yang sangat berbaloi bagi sesiapa yang lupakan Allah.

Lepaskanlah segala ikatan yang menghalang kita dari rahmat Allah. Bukan bermakna terus melupakan anak dan suami, tetapi jadikanlah meraka sebagai pembangkit semangat untuk lebih mendekati Tuhan. Di atas sejadah, di situlah ketenangan.

Hanya dengan melepaskan segala ikatan dunia, kita boleh melupakan rasa sedih, kecewa, benci, takut dan risau yang diwariskan oleh dunia kepada kita.

Berhentilah berfikir tentang dunia yang suka mendera kita, alihkan tumpuan kepada alam akhirat dan janji-janji Allah kepada hamba-Nya yang beriman. Berfikirlah tentang kemanisan syurga dan kasih sayang Allah yang melimpah dalam kehidupan kita.

2 – Di rumah anak-anak yatim & bersama orang sakit

Ketenangan hanya akan hadir di hati yang insaf. Betapa beruntungnya kita yang masih diberi peluang dan kekuatan untuk merasai kehidupan sebagai hamba yang diberi cukup nikmat.

Jika anda seorang isteri yang memiliki rumah, kerjaya, suami dan anak-anak yang sihat, maka apalagi nikmat yang belum anda rasai, apakah ada lagi nikmat Allah yang tidak cukup untuk anda? Tidak cukupkah Allah menyayangi anda? Tidak cukupkah Allah memaafkan dan berlembut kepada anda?

Mengapa anda membalas kenikmatan dan kasih sayang Allah dengan kelalaian dan maksiat? Bukankah suami dan anak, harta dan pangkat itu datangnya dari Allah, mengapa anda membalas jasa-jasa Allah dengan melupakan-Nya? Lihatlah mereka yang miskin, sakit dan terlantar. Tidakkah cukup tayangan kisah benar sebegini menyedarkan hati kita?

3 – Di atas kubur

Kubur merupakan tempat yang tenang dan boleh memberikan kesedaran pada jiwa manusia. Di situ manusia akan ingat dari mana dia datang dan ke mana dia akan pergi. Kita melalui alam rahim, alam dunia, alam kubur dan alam akhirat.

Dunia menjadi tempat penentuan adakah kita akan selamat untuk perjalanan ke destinati seterusnya. Anak dan suami adalah dunia anda, adakah mereka boleh menyelamatkan anda daripada seksa kubur atau mungkin merekalah sebenarnya yang menjadi penyebab anda mendapat seksa kubur dan seksa akhirat yang abadi?


SUMBER: http://laman-seri.blogspot.com/2010/10/3-tempat-untuk-elak-gangguan-suami-anak.html

Anda tidak bahagia dalam perkahwinan?




Suami anda bermasalah? Anda tidak bahagia dalam perkahwinan? Tetapi, anda masih mencintainya dan mahu dia berubah, tentu sudah banyak pengorbanan yang digadaikan untuk menyelamatkan perkahwinan anda. Tahniah! Kerana anda berani menghadapi tatangan percintaan.

Walaupun kering sudah air mata dan remuk redam hati menjadi saksi perjalanan sehari-hari bagai hidup dalam neraka bersamanya. Anda percaya manusia akan mengalami proses perubahan dalam hidupnya, jadi anda masih menunggu dan memberi peluang kepada suami untuk menjadi lelaki yang baik dan bertanggungjawap.

Pelbagai masalah rumahtangga yang dialami wanita, sebenarnya hal ini telah berlaku dari zaman berzaman lagi. Di dalam kehidupan Rasulullah SAW, baginda pernah menyaksikan terdapat juga segelintir suami-suami yang suka mendera isterinya, memiliki sifat kedekut dan menganggap wanita itu makhluk yang diciptakan semata-mata sebagai pemuas nafsu bahagia kaum lelaki tanpa memiliki hak dan maruah yang perlu dijunjung tinggi.

Setelah Islam hadir dalam kehidupan, kaum perempuan yang dahulunya tertindas kini terbuka rantai-rantai besi yang membelenggu jiwanya dan akhirnya membawa harapan baru dalam kehidupan mereka sehingga kini.

Perjuangan Islam dalam membela kaum wanita tercermin dalam sabda-sabda baginda SAW yang agung seperti yang bermaksud, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik budi pekertinya. Orang yang paling baik di antara kalian ialah yang paling baik kepada isterinya.” (Hadis riwayat Imam Tirmizi)

Sabda baginda SAW yang lain yang bermaksud, “Janganlah seorang lelaki memarahi isterinya apabila dia tidak suka terhadap salah satu perangainya, kerana masih ada perangai lain yang ia senangi dari dirinya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Sabda baginda SAW lagi dalam Hajjatul Wada’ yang bermaksud, “Ingatlah, berilah nasihat yang baik kepada isteri-isteri kalian, sesungguhnya mereka memerlukan perlindunganmu, sedikit pun kalian tidak boleh berbuat kejam terhadap mereka, kecuali mereka telah nyata melakukan kemaksiatan. (Jika demikian) janganlah kamu menemani mereka di tempat tidur dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukai. Bila mereka telah taat, janganlah kalian melakukan kekerasan terhadap mereka. Ingatlah, sesungguhnya kalian memiliki hak ke atas isteri dan isteri-isteri mempunyai hak ke atas kalian.” (Hadis riwayat Imam Tirmizi)

NB: Lihatlah keindahan akhlak Rasulullah SAW dalam membela hak-hak wanita yang dilakarkan melalui hadis-hadisnya. Mengapa orang zaman sekarang mudah saja menganiaya seorang wanita yang bergelar isteri? Apakah salah jika seseorang itu membela kaum wanita? Ada pula yang tergamak menuduh saya 'sesat' kerana begitu mempertahankan hak-hak wanita! Terima kasih. Saya doakan semoga mereka yang menuduh itu diberi hidayah oleh Allah SWT dan sempat bertaubat atas dosa-dosa mereka.

Cara mempengaruhi jiwa suami

Di manakah ajaran Islam yang kononnya menindas perempuan? Tetapi mengapa masih ada di kalangan suami-suami yang MENGAKU Muslim tidak segan-segan mendera isteri jika sedikit sahaja kekurangan berada di pihak isteri? Memukul setengah mati, enggan memberi nafkah dan hak-hak isteri kononnya mahu mengajar isteri. Ada sesetengah isteri yang bekerja pula terpaksa menanggung suami yang suka berfoya-foya.

Anak-anak menjadi mangsa akhirnya terlibat dengan kejahatan moral terbiar tanpa didikan ibu bapanya. Kepada mereka yang menghadapi masalah sebegini dengan suami, marilah bermuhasabah diri demi mencari jalan penyelesaian dari kemelut yang melanda rumahtangga anda.

Bagaimanakah cara mempergaruhi jiwa suami supaya dia mahu bertaubat?

1. Fokus pada diri anda dulu, sebelum memperbaiki suami

Ingatlah Allah! Jangan lalai dengan kehidupan duniawi. Punca ketenangan hati manusia ialah apabila dia boleh melupakan dunia yang menyibukkan hatinya. Dunia telah membuat kita lemas dalam gelombang ujian, hati menjadi sibuk menghadapi perasaan-perasaan yang hadir. Takut, gelisah, cemburu, dendam, marah, ego, sedih, gembira, rindu dan merana. Semua itu menyebabkan kita lupa kepada kuasa Allah yang menciptakannya.

Allah Taala berfirman dalam surah al-Munafiqun, ayat 9~11 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah. Barang siapa yang berbuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu lalu ia berkata: “Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian) ku sampai waktu yang dekat, sehingga aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh?” Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila telah datang waktu kematiannya dan Allah Maha mendalam pengetahuan-Nya atas apa yang kamu kerjakan.”

Untuk memperbaiki diri mulakanlah memperbaiki hubungan anda dengan Allah SWT. Kemudian ingatlah sentiasa akan kegelapan kubur dan saat-saat reputnya tubuh badan kita. Bukankah saat itu sudah tiada gunanya lagi harta, suami dan anak melainkan bekalan yang telah dikumpulkan semasa hidup di dunia?

Ramai yang kecewa dengan suami dan putus asa menghadapi karenah anak. Mengapa bersedih? Bukankah mereka tidak boleh menemani di dalam kubur dan menjadi pembela di mahkamah Allah nanti? Tugas anda sekarang, hanyalah berusaha mendampingi mereka dengan keimanan supaya usaha anda itu membuahkan pahala di akhirat nanti.

2. Cukuplah dengan teladan yang baik

Jangan cuba menasihatinya secara langsung. Suami yang menggila biasanya tidak mampu membezakan kejahatan dan kebaikan. Dia telah mengalami kemabukan yang menggelapkan sudut pandang hatinya terhadap keimanan. Saat sebegini, tidak mungkin anda mampu memberi nasihat yang tidak akan menyinggung perasaan ‘kelelakiannya’. Menjadi isteri yang sabar akan memantulkan cahaya ke hati suami sehingga ia mengerti makna kelembutan.

Suami hanya mahukan ketenangan jika bersama anda, jadi jangan memancing kemarahannya. Suatu masa dia boleh menjadi orang yang amat membenci anda tetapi pada masa yang lain lentoklah juga bila anda tahu rahsia kelemahannya. Biasanya dengan seks, layanan perut seperti makan, minum, pakaian dan masa rehatnya. Benda-benda ini amat asas tetapi besar pengaruhnya dalam ikatan jiwanya.

3. Jangan ambil hati

Caranya dengan menyibukkan hati anda dengan benda-benda yang positif. Jadikan hati anda kalis makian dan cercanya. Ingat kebaikannya yang lain dan jasa-jasanya kepada anda dan keluarga.

4. Doa sebagai senjata

Yakinlah kepada Allah dan pohon keampunan dan hidayah-Nya untuk suami, kerana yang berkuasa merubah suami anda hanyalah Allah SWT. Dia menggenggam jiwa hamba-hamba-Nya dan Maha Menentukan nasib kehidupan setiap insan.

Renung-renungkan...

SUMBER: http://laman-seri.blogspot.com/2010/01/ilmu-lentokkan-suami.html

RAHSIA POKOK KARI


Pokok kari adalah tumbuhan tropika hingga sub-tropika, yang berasal India. Tumbuhan renek ini yang adalah daripada spesies murraya koeniggi dalam keluarga rutaceae yang mengeluarkan daun-daun kecil berwarna hijau dan berbunga putih. Tumbuhan ini agak lasak walaupun sebenarnya ia menyukai tanah yang subur dan kaya dengan mineral. Nama spesies herba murraya koenigii yang diambil sempena memperingati ahli botani Johann König.

Pokok kari juga dikenali sebagai 'kariveppilai' dalam bahasa Tamil, juga dikenali sebagai karipulei, kari-kari, veppu-neem dan daun ilai. Dalam bahasa Kannada, ia dipanggil ‘neem hitam’, kerana daunnya mirip dengan pohon neem yang pahit, walaupun ia tiada kaitan langsung dengan pokok neem. Pokok kari juga tiada berkaitan dengan daun salam (bay leaf) dan daun kemangi (basil leaf) iaitu daun yang aromatik dari Mediterranean.

Buahnya yang didihkan dengan minyak kelapa hingga kehitaman boleh dihancurkan dan digunakan untuk merawat gigitan serangga dan haiwan berbisa. Daunnya yang dihancurkan dan dijadikan pes boleh digunakan untuk merawat lebam dan bengkak dengan cara menampalnya pada bahagian yang sakit.

Daun kari juga berkesan menyembuhkan penyakit cirit-birit dan penyakit berak darah yang juga disebut disentri. Daun kari dan akarnya juga dikatakan baik untuk peredaran darah dan boleh bertindak sebagai sedatif.

Walaupun terdapat pelbagai kegunaan tumbuhan ini, namun penggunaannnya perlu mendapat nasihat daripada pengamal perubatan untuk mengelakkan kemudaratan di kemudian hari kelak.




Bunganya kecil berwarna putih kekuningan dan mempunyai aroma yang sangat harum. Buahnya kecil, sebesar terung pipit, berwarna hijau ketika muda dan bertukar ke ungu berkilau setelah matang. Buahnya boleh dimakan, tetapi biji benihnya dikatakan beracun. Agaknya, sebab itulah buahnya yang ranum ini tidak diganggu serangga atau burung...

Pokok kari boleh membiak melalui biji benih, keratan batang dan anak yang tumbuh dari akarnya. Selain ditanam di halaman rumah kerana daunnya ia juga ditanam sebagai tumbuhan hiasan.

Hasil kajian mendapati daun kari mengandungi:
  • 66.3% kelembapan
  • 6.1% protein
  • 1.0% lemak
  • 16.0% karbohidrat
  • 6.4% fiber
Daun kari juga mengandungi mineral dan vitamin seperti kalsium, fosforus, zat besi, asid nikotinik dan vitamin C. Ia juga mengandungi volatile oil dan sejenis glukosid yang dipanggil koenigiin.

Daun kari mempunyai khasiat perubatan yang tinggi dan digunakan dengan meluas dalam perubatan Ayurveda di India. Daun kari mempunyai nilai sebagai antioksidan, anti-diabetes, antimikrob, anti-inflamasi, Hepatoprotektor, anti-hiperkolesterolemia dan lain-lain lagi. Daun kari juga dikatakan baik untuk penjagaan rambut yang panjang dan sihat. Selain dari itu daun kari juga dapat mencegah uban. Kulit pokok, daun dan akar pokok daun kari digunakan sebagai tonik. Pucuk daun muda juga boleh dibuat ulam.

Daun kari boleh dijadikan tonik herba untuk menguatkan perut dan meningkatkan keupayaannya serta mengatasi masalah penghadaman. Ia juga boleh digunakan sebagai laksatif (julap) lemah untuk mengatasi masalah sembelit. Jus daun kari yang dicampur dengan madu juga dapat menjadi penawar kepada cirit birit dan buasir.

Jus daunnya yang segar dicampur dengan jus limau nipis digunakan untuk mengatasi masalah loya dan pening terutamanya akibat makan lemak yang berlebihan. Caranya dengan mencampurkan satu sudu teh jus daun kari dan satu sudu teh jus limau nipis. Daun kari juga berkesan dalam mengatasi masalah haid dan penyakit gonorea (gonorrhea), menghilangkan rasa loya dan pening-pening lalat bagi wanita mengandung.

Air rebusan kulit batangnya yang kering dapat digunakan untuk mengubat diabetes. Amalan memakan 10 helai daunnya setiap hari selama 3 bulan dikatakan dapat mencegah kencing manis yang disebabkan oleh keturunan dan kegemukan.

MATI BERSALIN




Darah beku ke paru-paru, air ketuban masuki saluran darah antara punca utama

SEORANG wanita bersalin anak kelima dan cukup bulan tanpa sebarang komplikasi. Namun, ketika pemantauan rutin kira-kira empat jam kemudian, jururawat menemuinya dalam keadaan tidak bermaya, pucat dan sesak nafas.

Pemeriksaan awal tidak menunjukkan sebarang tanda pendarahan nifas yang berlebihan atau manifestasi penyakit jantung dan paru-paru yang jelas. Kajian ultrasound jantung atau ‘echocardiography’ mendapati bahagian kanan jantung membengkak dan tidak berdenyut dengan baik - petanda saluran darah ke paru-paru sudah tertutup berikutan peralihan gumpalan darah beku dari kaki ke paru-paru. Inilah kesan masalah embolisme paru-paru akut yang menjadi cabaran getir bagi setiap pengamal perubatan yang mengendalikan wanita mengandung dan baru bersalin. Di Malaysia, kajian menunjukkan lebih kurang 15% kes kematian ibu mengandung atau yang baru bersalin, disebabkan masalah itu.

Ia disebabkan dua punca iaitu pertama, gumpalan darah beku atau ‘deep vein thrombosis’ yang terbentuk di betis atau pinggul wanita yang mengandung akibat kurangnya kelancaran darah menerusi betis dan pinggul wanita berikutan tekanan kandungan dibawanya. Risiko ibu mengandung mengalami penyakit ini adalah empat kali ganda berbanding wanita biasa dan risiko ia berlaku selepas bersalin adalah lima kali ganda berbanding sebelum bersalin yang mana separuh kes dilaporkan berlaku melahirkan anak.

Kedua, air ketuban yang memasuki saluran darah ibu ketika bersalin atau ‘amniotic fluid embolisme.’ Ia tidak menyebabkan saluran darah tersumbat secara mutlak seperti di atas sebaliknya reaksi anafilaksis yang menjadikan saluran paru-paru menyempit dan akhirnya tertutup. Kadar kematian akibatnya amat tinggi dan sehingga kini, cara merawatnya masih belum dapat dikenal pasti.

Dua punca itu mempamerkan manifestasi klinikal yang sama iaitu, wanita berkenaan mengalami sesak nafas, tekanan darah merudum, kadar nadi meningkat drastik, pucat, tidak bermaya atau tidak sedarkan diri.

Justeru, mereka yang mengiringi wanita itu seperti suami, perlu prihatin dan mengamati keadaan isteri ketika bersalin dan selepas bersalin. Jika ia berlaku, wajarlah jururawat atau doktor dimaklumkan secepat mungkin bagi rawatan segera. Andai berlaku di rumah, pastikan bantuan pernafasan dan tekanan dada cardio-pulmonary resuscitation atau CPR didahulukan sementara menunggu bantuan ambulans.

Apakah faktor risiko masalah ini? Bagi wanita tidak mengandung, pengambilan pil perancang keluarga adalah faktor utama yang boleh menyebabkan masalah ini. Selain itu, merokok, berat badan berlebihan, penyakit kronik lain seperti kanser atau keadaan yang mana kurangnya pergerakan fizikal berpanjangan seperti patah tulang kaki atau pinggul, duduk terlalu lama dalam kapal terbang - semuanya boleh menambah risiko gumpalan darah di kaki.

Bagi ibu mengandung, faktor seperti umur, bilangan kehamilan yang ramai, kandungan kembar atau kehadiran penyakit lain seperti penyakit jantung akan menambah risiko.

Kaedah rawatan penyakit ini bergantung kepada puncanya. Jika disebabkan gumpalan darah beku, maka pesakit perlulah dirawat dengan cara ‘fibrinolysis’ iaitu menghancurkan gumpalan darah berkenaan. Tahap kejayaan menggunakan kaedah rawatan ini adalah amat tinggi tetapi perlu disusuli ubat untuk mencairkan darah bagi mengelakkan ia berulang.

Ubat seperti Heparin dan Warfarin perlulah diambil sekurang-kurangnya tiga bulan selepas bersalin dan tanpa henti. Jika disebabkan air ketuban, maka pesakit perlu diberi bantuan pernafasan ventilasi dan ubat untuk menyokong tekanan darah optimum. Seperti yang disebut, kadar kematian disebabkan oleh punca ini adalah 80% dan usaha menemui cara rawatan terbaik masih lagi diteruskan.

Info : Embolisme paru-paru akut
  1. Punca utama kematian ibu mengandung dan yang baru bersalin.
  2. Tanda-tanda perlu diamati termasuk sesak nafas, tekanan darah merudum, peningkatan kadar nadi dan pesakit kelihatan pucat, tidak bermaya atau tidak sedarkan diri.
  3. Faktor risiko - umur, bilangan kehamilan yang ramai, kandungan kembar atau kehadiran penyakit lain seperti penyakit jantung akan menambah risiko.
Rencana oleh Profesor Madya Dr Azarisman Shah Mohd Shah, Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Kardiologi, Timbalan Dekan (Akademik) dan Timbalan Pengarah Pusat Konsultasi Klinikal, Kuliah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Bandar Indera Mahkota, Pahang.

Sumber : BHarian 28/11/2010 
susunan : Bawang Goreng

SEKAPUR SIRIH

Artikel berkaitan keagamaan,kesihatan, perkahwinan dan lain-lain di blog ini hanya kompilasi artikel yang dititip daripada akhbar, majalah dan internet. Blog ini memaparkan artikel yang ditulis sendiri dan artikel yang bukan ditulis oleh pemilik blog adalah koleksi peribadi, ada yang sefahaman atau sebaliknya dan bersandarkan kandungan Al-Quran. Pun begitu, janganlah membaca artikel-artikel di blog ini untuk menyangkal atau menyalahkannya, atau mempercayainya jua, tetapi bacalah menurut tujuan sebenar mereka ditulis, iaitu hanya untuk dipertimbangkan pembaca sahaja.
Tidak perlu menulis atau bertindak untuk mengecam, menghina atau mengkhianati kerana perbuatan serupa itu hanya memudaratkan diri anda sendiri.Firman Allah SWT, "Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa ia menyedihkan kamu, apa yang mereka mengatakan; namun begitu, bukanlah kamu yang mereka mendustakan, tetapi orang-orang yang zalim, ia adalah ayat-ayat Allah yang mereka menyangkal." (6:33)Pemilik blog bukanlah seorang pakar agama, pakar kesihatan mahupun pakar perkahwinan, justeru itu, pemilik blog tidak dapat menjawab sebarang pertanyaan profesional berkaitan hal ehwal agama, kesihatan, psikologi perkahwinan atau kaunseling rumahtangga dan undang-undang secara mendalam. Pengunjung dinasihatkan supaya mendapatkan bantuan pakar dalam bidang berkaitan bagi masalah / kemusykilan yang dihadapi.Kami sekadar berkongsi ilmu.

Mengamalkan apa yang disiarkan di blog ini tanpa merujuk kepada dalil daripada Al-Quran dan Al-Hadis yang semakna atau hampir semakna dengannya, bukanlah tindakan yang bijak. Yang baik datangnya daripada Allah SWT, yang buruk adalah kelemahan pemilik blog sendiri.
Terima kasih kerana berlapang dada membaca cebisan ilmu yang tidak seberapa di blog ini. Ilmu yang baik dikongsi bersama.

Popular Posts