CARIAN ANDA

Monday, June 11, 2012

HARTA PUSAKA

 

 

 

Hurmmmm...

Bab-bab harta pusaka ni memang la rumit kalau dipikiorkan. Sampaikan malas nak amik tau sebenornya, tapi tu la setelah dikajiselidik tak boleh juga kita lepas tangan sebab perkara macamni akan berlanjut-lanjutan berpanjang-panjangan selagi tidak diselesaikan. Macam tulah yang terjadi kiranya kita ni tak amik tau pasal FARAID ni. MEh , baca n amik tahu. Tak rugi.


Harta pusaka simati mesti diurus secepat mungkin secara Faraid atau persetujuan bersama pastikan hak waris dilindungi

PADA hari ini menyelesaikan pusaka bukan lagi menjadi satu keutamaan kepada umat Islam. Tiada masa kerana sibuk bekerja, tiada hubungan baik dengan keluarga, malas hendak masuk campur kerana tidak berminat untuk mendapatkan harta tersebut, tinggal jauh dari kampung dan sikap enggan ambil tahu tentang harta pusaka adalah antara sebab-sebab remeh yang lazimnya kita dengar apabila ditanya mengenai status harta pusaka yang belum diselesaikan oleh waris.

Lebih membimbangkan lagi adalah kesan dari tindakan di kalangan waris sendiri yang gagal untuk menyelesaikan pusaka simati walau pun mengetahui perlu berbuat demikian seperti yang dikehendaki oleh syarak. Apakah kesan dan implikasi yang dimaksudkan?

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa tindakan melengah atau menangguh penyelesaian pusaka ataupun enggan menyelesaikan pusaka simati atas sebab-sebab yang tidak diketahui membawa kepada pengabaian ketetapan Allah SWT iaitu tidak melaksanakan pembahagian Faraid. Pelaksanaan ini adalah satu perkara yang dituntut dan wajib dilaksanakan kepada waris yang berhak sekiranya tiada persetujuan bersama dibuat sama sekali.

Senario begini amat membimbangkan, sekiranya masih berterusan dan tidak ditangani dengan positif akan membawa satu implikasi yang buruk dan kesannya amat memudaratkan kepada umat Islam khususnya. Umat Islam akan kehilangan ilmu faraid.

Secara ringkas apabila pentadbiran pusaka tidak diselesaikan, maka beberapa proses utama tidak akan dilakukan antaranya; mengenal pasti dan mengesahkan waris yang berhak, harta pusaka simati, hutang dan juga wasiat tentunya tidak dapat dilakukan dengan sempurna seterusnya pembahagian berdasarkan Faraid.

Oleh itu, seorang waris perlu tahu dan sedar akan kewajipan, tanggungjawab dan keutamaan yang perlu dilakukan kerana ianya boleh menjurus kepada perkara yang cuba dielakkan iaitu mengabaikan pelaksanaan Faraid. Dalam masa yang sama, waris juga jangan lupa, bagaimana pula kedudukan simati yang berada di alam yang berbeza? Apa jua yang dilakukan, yang pasti kesan dan implikasinya bukan hanya kepada yang hidup tetapi juga kepada yang telah mati.

Umat Islam dan waris perlu menyelesaikan pusaka simati secepat mungkin sama ada secara Faraid atau Persetujuan Bersama. Sekiranya tidak dilakukan dikhuatiri akan mengakibatkan berlakunya tiga perkara; memakan harta anak yatim, memakan harta saudara mara (Waris yang berhak ) dan memakan harta Baitulmal.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab waris untuk memberi keutamaan kepada beberapa perkara penting; iaitu menyelesaikan pusaka simati dengan kadar segera dan memastikan waris yang berhak mendapat hak masing-masing. Sama ada dilakukan sendiri atau sebaliknya, hak waris yang berhak perlu dilindungi setiap masa tidak sekali-kali diabaikan serta mengelakkan berlakunya masalah-masalah pusaka berlapis.

Sekiranya pentadbiran pusaka tidak diselesaikan maka amat dikhuatiri berlaku kezaliman dan penganiayaan kepada waris-waris yang berhak contohnya; Golongan Ashabul-Furud yang menerima pusaka menurut dan berdasarkan bahagian yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu sama ada : 1/2, 1/3, 1/4, 2/3, 1/6 atau 1/8. Mereka ini terdiri daripada isteri atau suami, ibu atau nenek, bapa atau datuk, anak perempuan atau cucu perempuan, saudara perempuan kandung, saudara perempuan sebapa dan saudara seibu.

Sekiranya di kalangan golongan ini terdapat kanak-kanak bawah umur belum berusia 18 tahun maka hak mereka telah diabai dan dianiaya. Apabila ini berlaku maka balasan yang akan diterima sesungguhnya hanya Allah SWT saja yang tahu.

“Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), Yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (Masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan Yang betul (menepati kebenaran)” - Surah An-nisa’, ayat 9

Begitu juga dengan hak simati yang perlu dilaksanakan contohnya: yang mula sekali perlu (bahkan wajib) diperhatikan ialah tentang status dan kedudukan harta waris itu sendiri. Terutama sekali dari segi hak dan kaitannya dengan perkara-perkara lain seperti Zakat, Nazar, Kaffarah, Haji, Gadaian, Denda Hukum, Hutang kepada Allah dan sebagainya. Sekiranya zakat belum dikeluarkan, maka wajib dikeluarkan. Jika sebahagiannya juga ada diperuntukkan untuk nazar oleh si mati, maka wajib ditunaikan. Jika antara harta itu terdapat gadaian juga wajib ia diasingkan. Jika ada hutang si mati kepada Allah, maka perlu dibayarlah hutang itu. Jika semasa hidupnya sudah wajib dia menunaikan Haji, tetapi dia tidak pergi menunaikannya, maka wajib juga diasingkan untuk keperluan menghajikannya, begitulah seterusnya.

Umat Islam dibolehkan dan dibenarkan menggunakan instrumen lain seperti; Wasiat, Amanah, Hibah dan Hadiah asalkan tidak bertentangan dengan tuntutan dan kehendak syarak tanpa sekali-kali membelakangi dan mengenepikan Faraid. Ini wajib difahami oleh umat Islam kerana pembahagian harta pusaka berdasarkan Faraid dilakukan dengan adil. Bagi tujuan pelaksanaan dan melindungi hak waris maka pembahagian dibuat hanya kepada nama waris dan bahagian masing-masing seperti yang tercatat di dalam Sijil Faraid.

Asas kepada kadar dan bahagian yang akan diterima oleh waris yang berhak sudah ditetapkan secara khusus juga melalui wahyu. Ayat-ayat mengenai faraid ini banyak terdapat dalam AI-Qur'an, begitu juga dalam hadis-hadis. Di antaranya hadis adalah seperti berikut yang bermaksud:

“Daripada Ibnu 'Abbas Radhiallahu 'anhuma daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam sabdanya:

“Kamu bahagi-bahagikanlah harta (pusaka) di antara ahli fard’idh (waris) berdasarkan Kitabullah.”Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)

Pada hari ini peranan manusia adalah untuk menunaikan fungsi utamanya iaitu bertanggungjawab untuk pelaksanaan hukum Allah begitu juga dengan pihak Mahkamah. Perkara ini amat penting kerana hukum atau tatacara pembahagian harta waris melalui Fara’idh adalah wajib.

4 comments:

Unknown said...

kdg2 org malas nk campur sbb ada pulak yg tamakkan harta kan.. :)

emma marini said...

info yang bagus

SABARINA said...

yer mok cik Queen...kadang2 memang malas nak campor dah...tapi dorang pasti carik pewaris2 yang masih ada, cam kes arwah ayah ni la, kalau ikotkan kitorang dah cuci tangan dah sebab kecewa dah. Tup-tup lawyer call carik kitorang waris-walak yang tinggal. Pandai plak dorang carik...Sebab Arwah TOk Othman ada anak 2 orang ajer arwah ayah n pak ali...dan cucu2 yang masih ada itu jer yg tinggal...kitorang pon dah generasi ke 5...

SABARINA said...

yer dokte EMa, alhamdulillah ada sikit info yang dok godek2 jumpa ni hah. Saja jer carik info ni sebab nak tau sejauh mana pentingnya FARAID n harta pusaka ni. Kalau ada rete banyak2 eloklah masa hidup ni buat wasiat, nak tuko nama ke apa ka, kalau sok dah meninggal wasiat takde huhhhuh sangat2 la rumit. Lagi-lagi harta pusaka yang dah berlapis-lapis....parah2... sedikit sebanyak info ni membuka mata kita betapa harta2 ni kene segera diuruskan kalau tak nanti kita gak yang susah, termakan harta anak yatim dan menzalimi orang yg sepatutnya mendapatkan haknya. Tapi itu la orang ramai yang tak tahu.

SEKAPUR SIRIH

Artikel berkaitan keagamaan,kesihatan, perkahwinan dan lain-lain di blog ini hanya kompilasi artikel yang dititip daripada akhbar, majalah dan internet. Blog ini memaparkan artikel yang ditulis sendiri dan artikel yang bukan ditulis oleh pemilik blog adalah koleksi peribadi, ada yang sefahaman atau sebaliknya dan bersandarkan kandungan Al-Quran. Pun begitu, janganlah membaca artikel-artikel di blog ini untuk menyangkal atau menyalahkannya, atau mempercayainya jua, tetapi bacalah menurut tujuan sebenar mereka ditulis, iaitu hanya untuk dipertimbangkan pembaca sahaja.
Tidak perlu menulis atau bertindak untuk mengecam, menghina atau mengkhianati kerana perbuatan serupa itu hanya memudaratkan diri anda sendiri.Firman Allah SWT, "Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa ia menyedihkan kamu, apa yang mereka mengatakan; namun begitu, bukanlah kamu yang mereka mendustakan, tetapi orang-orang yang zalim, ia adalah ayat-ayat Allah yang mereka menyangkal." (6:33)Pemilik blog bukanlah seorang pakar agama, pakar kesihatan mahupun pakar perkahwinan, justeru itu, pemilik blog tidak dapat menjawab sebarang pertanyaan profesional berkaitan hal ehwal agama, kesihatan, psikologi perkahwinan atau kaunseling rumahtangga dan undang-undang secara mendalam. Pengunjung dinasihatkan supaya mendapatkan bantuan pakar dalam bidang berkaitan bagi masalah / kemusykilan yang dihadapi.Kami sekadar berkongsi ilmu.

Mengamalkan apa yang disiarkan di blog ini tanpa merujuk kepada dalil daripada Al-Quran dan Al-Hadis yang semakna atau hampir semakna dengannya, bukanlah tindakan yang bijak. Yang baik datangnya daripada Allah SWT, yang buruk adalah kelemahan pemilik blog sendiri.
Terima kasih kerana berlapang dada membaca cebisan ilmu yang tidak seberapa di blog ini. Ilmu yang baik dikongsi bersama.

Popular Posts