CARIAN ANDA

Wednesday, July 27, 2011

APA ITU DISLEKSIA


Disleksia berasal dari perkataan Yunani iaitu "DYN" bermakna susah, dan "LEXIA" bermakna tulisan. Disleksia bukannya satu penyakit, tetapi merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Lazimnya, masalah pembelajaran yang dihadapi adalah seperti membaca, menulis, mengeja, dan kemahiran mengira. Oleh itu dyslexia merujuk kepada mereka yang menghadapi masalah untuk membaca dan menulis walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal.
Mereka yang mempunyai Disleksia bukannya menghadapi kecacatan malah sebahagian daripada orang-orang yang terkenal juga mempunyai disleksia. Sesetengah mereka yang mempunyai keadaan disleksia mempunyai kesukaran untuk menyebut perkataan yang panjang, dan ada yang sukar mempelajari turutan seperti nama bulan, dan sifir. Setiap orang dengan disleksia mempunyai masalah yang tidak serupa dengan orang lain dengan disleksia.
Masalah Disleksia adalah berbeza dengan Afasia, yang merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh kerosakan saraf otak, dengan itu akan melumpuhkan kebolehan seseorang untuk berkomunikasi.
Perkataan disleksia diambil daripada istilah Yunani, dys yang bermaksud 'sulit dalam...' dan lex (diambil daripada legein) yang bermakna 'bercakap'. Secara kesimpulannya, disleksia bermakna menderita kesukaran yang berhubungan dengan kata atau simbol-simbol tulisan.
Kanak-kanak yang mengalami disleksia bukanlah tergolong dalam golongan yang bodoh. Daripada kajian-kajian mendapati mereka mempunyai tahap kecerdasan intelektual yang normal dan tidak mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan. Ibu bapa mempunyai banyak pilihan untuk memberi pendidikan berterusan kepada anak-anak dengan memilih menghantar mereka ke sekolah biasa yang mempunyai kelas khas disleksia seliaan JPN atau mendapatkan nasihat daripada JKM untuk menghantar anak-anak ke Pendidikan Khas. Kanak-kanak ini akan diberikan bimbingan dengan betul untuk berdikari tanpa memerlukan bantuan ibu bapa apabila dewasa.
Di Malaysia, kanak-kanak yang telah disahkan disleksia boleh mendaftar sebagai orang kurang upaya[1] (OKU). Mereka mempunyai kad OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan memperoleh bantuan RM150 sebulan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kerana mengikuti kelas pemulihan di bawah seliaannya.

Isi kandungan

[sorokkan]

[sunting] Ciri-ciri penghidapnya

  1. Selalunya dikesan pada peringkat awal persekolahan kanak-kanak.
  2. Lambat membaca dan mempunyai tulisan tangan yang buruk.
  3. Ketika membaca, sering mengurang dan menambah pada sesuatu perkataan.
  4. Sering keliru dengan sesuatu perkataan pada huruf-huruf tertentu contohnya 'b' dianggap 'd' dan 'p' dianggap 'q'.
  5. Perhatian mudah terganggu atau gagal untuk menghabiskan sesuatu kerja hingga habis.
  6. Cenderung menjadi seorang yang impulsif atau sering mengikut perasaan sendiri tanpa memikirkan orang lain.
  7. Sering berlaku di kalangan lelaki.
  8. Kerap berlaku di kalangan pasangan kembar, kanak-kanak yang lahir tidak cukup bulan, anak-anak yang lahir daripada ibu yang sudah berumur, dan kanak-kanak yang pernah mengalami kecederaan pada kepala.
  9. Masalah disleksia boleh berlanjutan sehingga dewasa.

[sunting] Punca-punca Disleksia

Punca disleksia dipercayai akibat daripada cara kerja otak yang berbeza daripada keadaan yang normal. Apabila ujian imbasan dijalankan ke atas penghidap disleksia, didapati cara otak mereka memproses maklumat agak berbeza daripada biasa. Perbezaan ini mungkin disebabkan oleh kecacatan pada otak yang berlaku semasa dalam kandungan ataupun daripada kemalangan.
Faktor keturunan juga dikatakan sebagai salah satu punca disleksia. Kajian perubatan di barat mendapati kanak-kanak penghidap disleksia mempunyai latar belakang keluarga yang ada turut mempunyai penghidap sindrom berkenaan.

[sunting] Rawatan

Disleksia hanya dapat dikesan apabila beberapa ujian dilakukan ke atas pesakit di bawah pengendalian ahli psikologi atau guru khas disleksia. Penyakit ini boleh dirawat tetapi tidak boleh diubati. Penghidap disleksia lazimnya akan diberi rawatan secara terapi untuk meningkatkan kemahiran linguistik, berfikir, dan sosial.





Pendekatan berbeza didik anak disleksia





RELAKAH anda mendengar suara-suara masyarakat mengatakan anak anda tidak cerdik atau tidak normal seperti kanak-kanak lain?
Lebih menyedihkan, guru di Taman Didik Kanak-Kanak (Tadika) dan sekolah menegur tentang kebolehan membaca serta menulis anak-anak itu yang agak ketinggalan berbanding pelajar lain sehingga membuatkan para pengajar hilang sabar.
Disebabkan kekurangan yang dihadapi kelompok kanak-kanak itu maka persepsi malas, terus melekat terhadap mereka gara-gara keengganan untuk mencuba menulis serta membaca dengan betul.
Nasihat kepada guru-guru di luar sana, jangan berharap mereka untuk mampu menulis dan membaca dengan cemerlang jika anda mengajar mereka dengan teknik sama seperti pelajar-pelajar normal lain.
Jika berdepan situasi tersebut, harus anda ketahui bahawa anda sedang berdepan dengan golongan disleksia iaitu kumpulan individu yang mengalami kesukaran membaca, menulis dan mengeja.
“Kurangnya pendedahan dan kesedaran dalam kalangan guru serta ibu bapa terhadap disleksia menyebabkan kekeliruan terhadap masalah yang dihadapi golongan disleksia. Secara kasar ia mungkin dilihat sebagai individu buta huruf yang perlu dimasukkan ke dalam kelas pemulihan khas tetapi, sebenarnya mereka memerlukan pendekatan pembelajaran berbeza,” jelas Presiden Persatuan Dyslexia Malaysia (PDM), Sariah Amin.
Proses pembelajaran golongan disleksia perlu melengkapi penggunaan deria-deria utama seperti sentuhan, bunyi serta penglihatan kerana ia akan menjawab semua persoalan yang bersarang dalam fikiran mereka.
Jelas Sariah, golongan disleksia kebiasaannya berdepan masalah membezakan huruf a, d dan g disebabkan bentuknya yang serupa walaupun cara membunyikannya berbeza.
Sembilan pusat PDM
Bagi mengatasi kekeliruan tersebut, blok-blok huruf tersebut akan diletakkan di hadapan mereka dan mereka akan diberi penjelasan tentang perbezaan huruf tersebut.
“Contohnya, huruf d akan dikenali mereka sebagai huruf a yang mempunyai tangkai di atas sementara huruf g mempunyai ekor di bawah.

PUSAT pembelajaran disleksia ditubuhkan khas untuk memberikan pendidikan yang lebih fokus kepada pelajarnya tanpa tekanan dan saingan dengan pelajar normal.


“Penjelasan itu juga perlu didatangkan secara visual dan sentuhan agar mereka benar-benar memahami perbezaan huruf-huruf tersebut,” kata Sariah lagi.
Sejak penubuhan PDM pada 1999, persatuan tersebut terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada kanak-kanak disleksia dengan mewujudkan sembilan buah pusat pembelajaran di seluruh Malaysia.
Menerusi program pembelajaran tiga bulan di pusat pembelajaran tersebut, golongan disleksia akan diberi bimbingan serta perhatian khusus bagi mengatasi masalah mereka.
Seperti yang diketahui, golongan disleksia memerlukan tumpuan khusus, jadi setiap kelas di pusat PDM hanya memuatkan lima pelajar secara maksimum dengan seorang guru mengajar tiga subjek teras.
Subjek bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Matematik diajar oleh guru yang sama untuk setiap kelas bagi mewujudkan kemesraan dan keselesaan dalam kalangan mereka.
Intan Nur Jannah Mat Nawi, guru di pusat PDM Ampang memberitahu, mengajar kanak-kanak disleksia sangat menguji kesabaran serta memerlukan kemahiran tinggi.
“Mereka sangat jujur dan kadang-kadang kata-kata mereka boleh membuatkan kita rasa hendak marah dan putus asa untuk mengajar mereka.
“Ada juga di antara mereka yang pemalu dan tidak mahu bercakap apabila bertemu orang baharu, tetapi disebabkan sifat mudah mesra tidak sukar bagi mereka menyesuaikan diri,” ujar Jannah yang mula berkhidmat sejak 2005 lagi.
Pembelajaran di pusat PDM difokuskan kepada auditori, sentuhan dan sebutan di mana setiap pendekatan digabungkan agar impak yang diterima mereka lebih berkesan.
Jelas Jannah, perkataan-perkataan yang diajar perlu dieja mengikut bunyi perkataan itu disebut dan susunan perkataan dalam ayat juga perlu senada agar mereka tidak mengalami kekeliruan.
Tambah guru yang berumur 24 tahun itu lagi, proses mengajar kanak-kanak disleksia perlu dilakukan secara berperingkat serta tidak terlalu mendadak.

SEORANG guru menggunakan animasi interaktif menerusi komputer untuk merangsang minat pelajar disleksia.


Selain alat bantuan belajar seperti komputer, barangan permainan seperti permainan blok dan tanah liat juga penting bagi golongan disleksia menjana kreativiti mereka.
Sariah memberitahu bahawa pelajar-pelajar disleksia di pusat PDM akan diberi masa selama 30 minit untuk bermain kedua-dua permainan tersebut sebelum kelas bermula.
Ujar Sariah, mereka yang berada pada tahap disleksia serius kebiasaannya mengalami masalah menggerakkan tangan ketika menulis.
Penggunaan tangan dengan cara menekan dan membentuk ketika bermain permainan tersebut dikatakan dapat membantu meningkatkan kemahiran motor halus yang dialami mereka.
Jiwa sensitif
Jika di sekolah-sekolah biasa, mungkin kanak-kanak disleksia akan ditegur dengan agak keras sekiranya mereka gagal menangkap apa yang diajar guru.
Bagaimanapun di pusat PDM, guru-guru terlatih tersebut tidak perlu menegur mereka menerusi kata-kata kerana ia akan mengundang kepada permasalahan lain.
“Kanak-kanak disleksia amat sensitif, jika dimarah mereka akan menunjukkan sikap negatif dan menjadi nakal.
“Oleh sebab itu kita tidak boleh sewenang-wenangnya memanggil mereka bodoh atau apa jua gelaran yang boleh membuatkan mereka berasa rendah diri.
“Jika mereka berterusan dilayan dengan cara begitu, maka apabila dewasa mereka akan terjebak dengan pelbagai masalah sosial,” kata Sariah yang telah 12 tahun menjadi penaung PDM.
Seorang ibu yang menghantar anaknya ke pusat PDM Ampang, Emilia Radzwan memberitahu, anak sulungnya, Muhammad Aqil Akmal dikesan mengalami disleksia pada awal tahun ini.
Luah Emilia, Aqil yang kini berusia lima tahun mempunyai masalah untuk bercakap dan mengenali abjad ketika berada di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska).
“Dia susah hendak memberitahu apa yang hendak dicakapkan, seolah-olah dia perlu berfikir dengan lama sebelum dapat mengeluarkan kata-kata tersebut.
“Pada mulanya saya dan suami tidak mengesyaki apa-apa tetapi, setelah teringat situasi serupa yang terjadi kepada seorang saudara, kami terus membawa Aqil menjalankan pemeriksaan.
“Setelah dia disahkan mengalami disleksia, kami mengambil keputusan mengeluarkannya daripada taska dan menghantarnya ke pusat PDM,” luah Emilia yang bekerja sebagai perunding pelancongan.

SEORANG guru di pusat pembelajaran disleksia di Ampang mengajar seorang anak muridnya mengenali huruf.


Kini, selepas tiga bulan mengikuti program di pusat PDM, Aqil yang mengalami disleksia tahap sederhana sudah mengenal huruf, nombor, mengeja malah, dapat memegang pensil dengan betul.
Walaupun begitu, Emilia memutuskan untuk menyambung tiga bulan lagi tempoh pengajian Aqil di ‘sekolah’ disleksia itu agar anak pertama daripada dua beradik tersebut boleh membaca dengan lancar.
Bukan Emilia sahaja memilih untuk menyambung program anaknya di pusat PDM, malah ramai ibu bapa melakukan perkara sama kerana inginkan perkembangan yang lebih baik sehingga mereka betul-betul bersedia untuk kembali ke sekolah biasa.
Tiada tajaan
Perjuangan PDM mendidik anak-anak disleksia bagaimanapun masih perlu dibiayai ibu bapa sendiri kerana tiadanya dana yang diperuntukkan buat persatuan itu.
Ibu bapa perlu membayar yuran pengajian sebanyak RM450 sebulan dan bagi mereka yang tidak berkemampuan, PDM akan membantu mendapatkan tajaan daripada syarikat-syarikat korporat.
“Setakat ini hanya pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan beberapa badan korporat yang sudi menghulurkan bantuan kepada persatuan kami.
“Kami percaya ramai kanak-kanak disleksia di luar sana yang ingin menuntut ilmu di sini tetapi disebabkan sekatan kewangan, ibu bapa mereka terpaksa membantutkan hasrat tersebut.
“Diharapkan akan ada pihak-pihak tertentu yang sudi mengembalikan sinar harapan buat mereka agar dapat belajar secara percuma kelak,” ujar Sariah jujur.
Ibu bapa yang berminat menghantar anak-anak mereka yang mengalami disleksia ke pusat PDM bolehlah melayari www.dyslexiamalaysia.org.my dan menghubungi mana-mana pusat PDM yang berhampiran untuk keterangan lanjut.

2 comments:

Little Heart said...

Saya salah seorang yang mengalami disleksia.. Saya dapat ijazah sarjana muda.. Tp bukan lah first class.. Masalah proses maklumat still menjadi satu yg mencabar.. Huruf OK juga.. Tapi nombor still bermasalah sampai sekarang.. Utk pengetahuan semua.. Walaupun saya ada masalah pembelajaran, tapi IQ saya 163.. maksudnya gifted nearly genius.. Utk ibu bapa yg ada anak seperti saya.. Jangan give up.. Saya belajar sendiri.. Only dpt second class dlm sarjana muda.. Jadi anda boleh bayangkan jika saya dapat bantuan yg sepatutnya.. Kemungkinan besar saya dapat CGPA 4.00.. So.. Jangan give up..

Anonymous said...

We can decrease dyslexia symptoms with special method of learning and training
Join us at www.bakatsuper.com
Vid :
https://m.youtube.com/watch?v=hYIMX-Oq_N4

SEKAPUR SIRIH

Artikel berkaitan keagamaan,kesihatan, perkahwinan dan lain-lain di blog ini hanya kompilasi artikel yang dititip daripada akhbar, majalah dan internet. Blog ini memaparkan artikel yang ditulis sendiri dan artikel yang bukan ditulis oleh pemilik blog adalah koleksi peribadi, ada yang sefahaman atau sebaliknya dan bersandarkan kandungan Al-Quran. Pun begitu, janganlah membaca artikel-artikel di blog ini untuk menyangkal atau menyalahkannya, atau mempercayainya jua, tetapi bacalah menurut tujuan sebenar mereka ditulis, iaitu hanya untuk dipertimbangkan pembaca sahaja.
Tidak perlu menulis atau bertindak untuk mengecam, menghina atau mengkhianati kerana perbuatan serupa itu hanya memudaratkan diri anda sendiri.Firman Allah SWT, "Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa ia menyedihkan kamu, apa yang mereka mengatakan; namun begitu, bukanlah kamu yang mereka mendustakan, tetapi orang-orang yang zalim, ia adalah ayat-ayat Allah yang mereka menyangkal." (6:33)Pemilik blog bukanlah seorang pakar agama, pakar kesihatan mahupun pakar perkahwinan, justeru itu, pemilik blog tidak dapat menjawab sebarang pertanyaan profesional berkaitan hal ehwal agama, kesihatan, psikologi perkahwinan atau kaunseling rumahtangga dan undang-undang secara mendalam. Pengunjung dinasihatkan supaya mendapatkan bantuan pakar dalam bidang berkaitan bagi masalah / kemusykilan yang dihadapi.Kami sekadar berkongsi ilmu.

Mengamalkan apa yang disiarkan di blog ini tanpa merujuk kepada dalil daripada Al-Quran dan Al-Hadis yang semakna atau hampir semakna dengannya, bukanlah tindakan yang bijak. Yang baik datangnya daripada Allah SWT, yang buruk adalah kelemahan pemilik blog sendiri.
Terima kasih kerana berlapang dada membaca cebisan ilmu yang tidak seberapa di blog ini. Ilmu yang baik dikongsi bersama.

Popular Posts