CARIAN ANDA

Thursday, July 28, 2011

KISAH ANAK-ANAK




Arini Cik kak nak kongsi email dari kawan Cik Kak tentang peranan ibubapa dalam menangani masalah anak-anak. Kita sediamaklum anak-anak suka bermain tak heranlah kalau kita adakalanya naik angin ngan kerenah anak-anak. Bagaimana pun hargailah anak-anak kita permata hidupkita, jangan sesekali bertindak mengikut rasa amarah yang boleh mengakibatkan kita kesal dikemudian hari.

Apa akan kita buat apabila kita pulang ke rumah selepas penat bekerja, anak kita akan terus membuat semak rumah dengan mainan dan peralatan lain yang boleh dianggap sebagai mainan ataupun semasa kita sedang memandu, anak kita mengganggu kita atau apa sahaja perbuatan yang boleh membuatkan kita marah dan terus menengking mereka. Jawapannya mungkin kita akan marah dan tengking anak kita. Jika kita kata “JANGAN” mereka lagi akan buat perkara yang sama. Perkataan JANGAN ini seperti tidak “makan” pada diri mereka. Contoh : Jangan main gunting nanti luka jari!, Jangan lompat nanti jatuh!

Saya amat menyokong fakta yang mengatakan sifat anak-anak pada usia bawah 6 tahun sangat-sangat dipengaruhi oleh apa yang dilihat dan didengar pada setiap hari. Ini kerana, apa sahaja yang dilihat dan didengar setiap hari ia seperti suatu pembelajaran bagi anak tersebut dan ia tersemat ke otak. Contohnya : Mereka suka menyebut perkataan “bodoh” tapi tidak tahu maknanya. Mereka juga suka meludah atau menjelirkan lidah seperti mengejek kita tapi tidak tahu sebabnya.

Ini bermaksud, seorang anak itu boleh menjadi baik kerana dia meniru dan mencontohi, perlakuan dan pertuturan daripada orang-orang yang baik yang dijumpainya pada setiap hari.

Begitu juga sebaliknya, seorang anak itu boleh menjadi nakal kerana dia meniru dan mencontohi, perlakuan dan pertuturan daripada orang-orang yang ‘kurang’ baik yang dijumpainya pada setiap hari.

Oleh itu, satu cara untuk menangani anak-anak yang nakal ialah dengan menjauhkan anak ini daripada individu-individu yang memberikan pengaruh negatif kepada sifatnya. Semakin lama anak nakal ini bersama dengan individu tersebut, maka semakin banyaklah sifat negatif orang itu yang akan diserap ke dalam dirinya.

Mungkin juga fakta yang mengatakan setiap sifat yang terbentuk dalam diri anak-anak pada usia 0-6 tahun akan dibawa seumur hidupnya adalah benar. Fakta ini bukan sahaja kajian daripada Barat. Malah ia turut diakui dalam Islam. Sebab itu, pendidikan yang betul di peringkat umur ini sangat penting dan tidak harus diabaikan sama sekali.

Jadi, apakah tindakan yang harus dilakukan?

Langkah 1: Periksa siapakah orang-orang yang biasanya dijumpai oleh anak-anak ini pada setiap hari.

Sekiranya anda menghantarnya ke rumah pengasuh, periksa setiap individu dalam rumah tersebut (pengasuh, ahli keluarga pengasuh dan kanak-kanak lain yang diasuh), adakah terdapat orang-orang yang membawa unsur negatif ini.

Jika ada, seboleh-bolehnya usahakan untuk mencari tempat pengasuhan yang lain kerana perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Biar bersusah hari ini untuk mencari pengasuh yang baik, daripada kita menangis di kemudian hari kerana anak tidak mahu menjadi baik.

Langkah 2: Ubah cara pendekatan anda dengan anak-anak ini.

Asasnya, anak-anak banyak sekali mencontohi dan meniru sifat ibubapa. Sekiranya ibubapa telah memberikan sifat negatif (secara sedar atau pun tidak), maka ibubapa tidak ada pilihan lain melainkan membuat sedikit inisiatif untuk BERUBAH.

Apabila kita memarahi anak pada usia ini dengan nada menengking, menjerit, memaki, mengejek, merotan, mencubit, menjentik dan seumpamanya, hati anak yang asalnya lembut akan menjadi semakin keras. Dia akan menunjukkan pelbagai cara pemberontakan kerana kesakitan yang dialami di dalam hati dan secara fizikal. Semakin kerap ibubapa memarahi mereka, maka semakin kuat lah pemberontakan mereka.

Anak-anak pada usia ini tidak “makan” dengan cara seperti ini. Ia mungkin hanya berkesan untuk beberapa ketika sahaja. Tetapi cara ini tidak berkesan untuk mendidik sifat baik yang berpanjangan di dalam diri mereka.

Untuk anak-anak yang nakal, jika mereka melakukan kesalahan, dekati anak, dakap anak, peluk anak, cium anak, sayang anak, dudukkan anak di atas pangkuan, dan berilah nasihat secara HIKMAH. Ceritakan pada mereka apa yang mereka buat tadi adalah salah dan apa yang mereka boleh lakukan untuk membetulkan kesilapan tadi.

Apabila mereka lakukan kebaikan, walaupun tidak sempurna, (contohnya: anak mahu lap air yang tumpah, tetapi cara lap nya menyebabkan air semakin berselerak), ibubapa MESTI tunjukkan penghargaan. Apabila pujian diberikan, pasti anak akan gembira untuk melakukan perkara yang baik lagi di masa akan datang.

Ibubapa bukan sahaja perlu mendekati anak-anak sewaktu mereka melakukan kesalahan sahaja, sebaliknya, carilah peluang untuk membuat pelbagai aktiviti bersama anak-anak. Seperti bermain, membaca, mewarna dan sebagainya. Anak-anak pada usia ini sangat suka apabila ada orang dewasa menyertai aktiviti mereka, kerana mereka mempunyai keinginan yang sangat tinggi untuk belajar apa sahaja perkara baru daripada orang dewasa.

Apabila ibubapa rapat dengan anak-anak, maka kerja untuk mendidik akhlak dan sifat yang terpuji di dalam diri anak-anak menjadi lebih mudah. Anak pada usia ini akan taat dan hormat kepada orang yang banyak menunjukkan keprihatinan kepada mereka.

Untuk menghasilkan sifat yang terpuji dalam diri anak-anak, ibubapa perlu sentiasa menunjukkan sifat yang terpuji di hadapan mereka.

Jika mahu anak mematuhi perintah Allah, ibubapa perlu patuhi perintah Allah terlebih dahulu.

Jika mahu anak taat kepada ibubapa, ibu perlu taat pada perintah bapa dahulu.

Jika mahu anak pandai ucap terima kasih, ibu dan bapa perlu selalu ucap terima kasih kepada mereka dan sesiapa sahaja.

Jika mahu anak mengeluarkan kata-kata yang sopan, ibu dan bapa perlu berkata perkataan yang baik sahaja di hadapan mereka atau sesiapa sahaja.

Jika mahu anak-anak meminta maaf selepas melakukan kesalahan, ibu dan bapa perlu selalu saling meminta maaf sesama mereka dan tidak salah jika ibubapa meminta maaf kepada anak-anak juga.

Bila ibubapa mula menunjukkan sifat yang baik, sedikit demi sedikit anak akan menirunya dan sifatnya akan mula berubah. Kalau bukan hari ini, mungkin esok.Kalau bukan esok, mungkin lusa.Dan kalau bukan lusa, mungkin minggu depan atau bulan depan atau tahun depan.

Yang penting, terus lakukannya dengan istiqamah dan terus panjatkan doa kepada Allah swt dengan keyakinan yang kuat bahawa suatu hari nanti pasti anak ku akan berubah.

Yakinlah wahai ibubapa, setiap ciuman yang diberikan kepada anak dan sekelumit kesabaran dalam mendidik mereka, mempunyai NILAI yang sangat besar di sisi Allah swt.

Saya juga bukan sahaja mengingatkan anda malah diri saya sendiri terutamanya, mendidik anak-anak memerlukan kesabaran yang amat tinggi dan kenakalan mereka menggugat kesabaran kita pada setiap tikanya. Oleh itu, kita sebagai ibubapa haruslah bersabar dari menahan kemarahan terhadap anak kita.

2 comments:

emma marini said...

tapikan..anak2 ni dapat pengaruh negatif dari nenek depa, ceman tu?

SABARINA said...

tu la pasal sepatotnyer jgn la babitkan budak-budak nih dalam masalah dorang tuh. Ajar plak anak aku yang bukan2 adoiii tu pasal bila syabeel mula cakap yang bukan-bukan aku terus marah. Dia macam dah termakan asutan orang. Dia siap cakap mama nenek tak bagi tau kita pegi umah opah, opah jahat. Aku tangankan dia kat situ jugak, dia ilang respek bercakap org tua. ni la bahana nya...

SEKAPUR SIRIH

Artikel berkaitan keagamaan,kesihatan, perkahwinan dan lain-lain di blog ini hanya kompilasi artikel yang dititip daripada akhbar, majalah dan internet. Blog ini memaparkan artikel yang ditulis sendiri dan artikel yang bukan ditulis oleh pemilik blog adalah koleksi peribadi, ada yang sefahaman atau sebaliknya dan bersandarkan kandungan Al-Quran. Pun begitu, janganlah membaca artikel-artikel di blog ini untuk menyangkal atau menyalahkannya, atau mempercayainya jua, tetapi bacalah menurut tujuan sebenar mereka ditulis, iaitu hanya untuk dipertimbangkan pembaca sahaja.
Tidak perlu menulis atau bertindak untuk mengecam, menghina atau mengkhianati kerana perbuatan serupa itu hanya memudaratkan diri anda sendiri.Firman Allah SWT, "Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa ia menyedihkan kamu, apa yang mereka mengatakan; namun begitu, bukanlah kamu yang mereka mendustakan, tetapi orang-orang yang zalim, ia adalah ayat-ayat Allah yang mereka menyangkal." (6:33)Pemilik blog bukanlah seorang pakar agama, pakar kesihatan mahupun pakar perkahwinan, justeru itu, pemilik blog tidak dapat menjawab sebarang pertanyaan profesional berkaitan hal ehwal agama, kesihatan, psikologi perkahwinan atau kaunseling rumahtangga dan undang-undang secara mendalam. Pengunjung dinasihatkan supaya mendapatkan bantuan pakar dalam bidang berkaitan bagi masalah / kemusykilan yang dihadapi.Kami sekadar berkongsi ilmu.

Mengamalkan apa yang disiarkan di blog ini tanpa merujuk kepada dalil daripada Al-Quran dan Al-Hadis yang semakna atau hampir semakna dengannya, bukanlah tindakan yang bijak. Yang baik datangnya daripada Allah SWT, yang buruk adalah kelemahan pemilik blog sendiri.
Terima kasih kerana berlapang dada membaca cebisan ilmu yang tidak seberapa di blog ini. Ilmu yang baik dikongsi bersama.

Popular Posts