CARIAN ANDA

Tuesday, November 30, 2010

IBADAH AQIQAH



Ibadah akikah ke atas diri sendiri boleh dilakukan bila-bila masa sahaja, kerana ibadah akikah tidak seperti ibadah korban yang biasanya dilakukan pada hari-hari tasyrik pada bulan Zulhijjah.

Sepatutnya tanggungjawab melakukan akikah di bawah tanggungan ayah. Tetapi harus si datuk melakukan akikah untuk cucunya seperti baginda Rasulullah SAW melakukan akikah untuk kedua-dua cucu baginda iaitu al-Hasan dan al-Husein.

Namun mungkin kerana kegawatan ekonomi menyebabkan akikah tidak dapat dilaksanakan, jadi tidak salah. Malah sah hukumnya dan tetap mendapat pahala sekiranya tuan punya diri melakukan ibadah akikah untuk diri sendiri. Hal ini dapat kita lihat dalam beberapa riwayat bagaimana Rasulullah SAW melakukan ibadah akikah untuk diri baginda.

Adapun persoalan yang mana perlu diutamakan, jawapannya ialah akikah, kerana yang tertanggung ke atas kita sejak kita lahir ialah akikah. Sehinggakan dalam hadis Rasulullah SAW menyebut “terikat” atau “tertanggung” ke atas anak-anak yang lahir. Ini bermaksud tanggungan yang terawal ialah akikah. Maka adalah lebih utama kita mendahulukan tuntutan yang terawal. Walaupun demikian ada pandangan ulama yang mengira ibadah korban dapat melupuskan tuntutan akikah seperti pendapat Ibn Sirin dan al-Hasan al-Basri.

Namun pandangan ini berbeza dengan pandangan jumhur ulama yang berpendapat kedua-dua ibadat itu tidak dapat ganti-mengganti antara satu sama lain. Malah kedua-dua ibadat sunat muakkad itu dilakukan berasingan. Sekiranya duit yang cukup untuk melakukan ibadat akikah, maka lakukan ibadah akikah dahulu. Apabila sudah ada rezeki barulah buat ibadah korban.

Dari segi bahasa, akikah adalah rambut di kepala kanak-kanak. Sementara pengertian akikah dari segi syarak ialah binatang yang disembelih pada hari mencukur rambut bayi. Akikah sebagai ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah SWT sebagaimana penjelasan Rasulullah dengan sabdanya yang bermaksud: “Setiap anak yang lahir itu terpelihara dengan akikahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama.” (Hadis riwayat Abu Dawud, al-Turmidzi dan Ibnu Majah)

Ibnu Majah menerangkan maksud “... terpelihara dengan akikah...” (pada mafhum hadis di atas) adalah bahawa akikah itu sebagai sebab yang melepaskan kanak-kanak tersebut daripada gangguan syaitan yang cuba memesongkannya daripada melakukan kebaikan.

Daripada Salman bin Amir al-Dhabley, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Untuk anak lelaki itu akikahnya. Tumpahkan atasnya darah dan hilangkanlah daripadanya kekotoran dan najis.” (Hadis riwayat Abu Daqud, al-Turmidzi dan Ibnu Majah).

Menurut Imam Ahmad bin Hanbal, bahawa apabila seseorang kanak-kanak itu mati dalam keadaan belum diakikahkan lagi, maka anak itu tidak dapat mensyafaatkan kedua-dua orang tuanya di akhirat kelak. Hukum akikah itu adalah sama dengan ibadah korban iaitu sunat muakkad kecuali dinazarkan menjadi wajib.

Penyembelihan akikah adalah pada hari ketujuh dari kelahiran bayi atau pada hari ke-14 atau ke-21. Jika tidak dapat maka bila-bila masa selagi anak itu belum baligh. Jika anak telah baligh, maka gugur tuntutan atas walinya dan sunat bagi dirinya (individu yang berkenaan) mengakikahkan untuk dirinya sendiri.

Bagi anak zina, akikahnya sunat dilakukan oleh ibunya kerana nafkah hidup anak zina itu tanggungan ibunya bukan bapanya. Demikian pendapat Ibnu Hajar dan Syeikh Ramli, manakala Khatib Syarbini pula berpendapat, adalah tidak sunat bagi ibu mengakikahkan anak zinanya meskipun si ibu memberi nafkah kepadanya.

Anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing.

Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat agar menyembelih akikah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Hadis riwayat al-Turmidzi).

Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan bahawa Rasullullah SAW menyembelih akikah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (Hadis riwayat Abu Dawud)


Kemusykilan:
hidangan majlis tu ialah daging kambing akikah, boleh ke daging ibadah akikah tu diberi makan kepada orang kafir? bagaimana pula dengan daging ibadah korban

Jawapan:
Aqiqah disebut dalam hadith :-

” Bersama bayi yang lahir itu aqiqah, maka kerna itu mengalirkanlah darah (sembelihan) untuknya, dan jauhkan baginya segala kesakitan (godaan syaitan) ( Riwayat Al-Bukhari)
“Setiap anak perlu dipajakkan (terhutang) dengan aqiqah, disembelih untuknya pada hari ketujuh umurnya, dan diberi nama dan dicukur rambut kepalanya” ( Riwayat Ashabus Sunan )
Aqiqah itu pula dari sudut bahasanya adalah ‘tolakan’, iaitu tolakan dari gangguan dan godaan Syaitan.
Berkenaan beri kepada non muslim, saya dapati tiada dalil mahupun pendapat ulama yang meletakkan syarat bahawa si penerima adalah orang Islam sahaja. Justeru…wallahu a’lam.. saya kira ianya adalah harus.
Cuma sudah tentu yang lebih baik adalah penerima dari kalangan orang Islam kerana diharapkan adalah sipenerima memahami lalu mendoakan si kanak-kanak tadi apabila menerima hidangan hasil aqiqah itu.  Jika beri pada bukan Islam, manalah mereka faham aqiqiah tu apa ..
Falsafah ‘aqiqah adalah sebagai tanda kesyukuran bagi anugerah cahaya mata yang dikurniakan oleh Allah SWT. Justeru ia lebih baik di kongsi sesama Islam. Ini kerana ia juga seumpama satu peringatan kpd yg lain untuk beraqiqah juga untuk anak mereka (jika belum). Non-Muslim tiada peruntukan aqiqah..
Sebagai tambahan info ; Kebanyakkan ulama menggalakkan daging dari hasil sembelihan itu dimasak terlebih dahulu sebelum di edarkan kepada faqir miskin, jiran tetangga walaupun mereka kaya.
Bagaimanapun, menurut satu pandangan :-
” Daging aqiqah dan korban haram diberi kepada bukan Islam kerana korban dan aqiqah merupakan amal ibadah kepada Allah. Ia bertujuan untuk bertaqarrub kepada Allah. Ini ada disebut dalam Fatwa Syeikh Ahmad al Fatthani.
Tapi kalau bukan Islam nak beli satu bahagian daripada daging lembu itu untuk kegunaan peribadi, bukannya utk korban, maka harus hukumnya menurut Syeikh Daud al fatthani dalam Furu’ul masaa’il. “
Komen saya :
Ada benarnya, ini salah satu ijtihad yang sangat boleh dipegang. Bagaimanapun, ia tidak qat’ie dan ia masih dalam kategori perkara furu’/cabang.
Jika hujjah utama oleh beberapa ulama terulung tempatan di atas adalah “ia hal taqarrub”..maka anda boleh berhujjah bahawa hal taqarrub itu adalah terhenti di ketika niatnya, sembelihan dan hidangan dibuat..adapun hal ehwal mengedarkannya tidak lagi termasuk dalam hal yang menjadi syarat kepada taqarrub itu. Ia lebih kepada hal kemasyaratan sahaja.
Seperti solat.. ia adalah hal taqarrub kpd Allah..maka ada rukun dan syaratnya untuk memenuhi taqarrub yang disasarakan demikian juga solat di tempat yang suci adalah syarat sah utk taqarrub solat ini, tapi samada sejadah itu dibeli dari kedai non muslim atau tidak.. maka ia tidak memberi kesan kpd ibadah solat…ia cuma kurang digalakkan sahaja.
Dan mengedarkannya daging aqiqah kpd muslim sahaja, bukanlah menjadi syarat sah aqiqah dalam semua mazhab (kecuali jika saya tersilap, iaitu ada mazhab yg menajdikannya syarat sah aqiqah).
Malah jika seseorang bersedeqah kepada seorang bukan Islam di ditemuinya di keadaan yang amat memerlukan. Adakah tiada pahala baginya Ini tidak benar sama sekali, derma dan kebaikan yang dilakukan oleh Umat Islam adalah bersifat ‘taqarrub’ kepada Allah, dan ia pasti diterima walaupun penerima bantuan itu seorang kafir. Cuma, jika ada dua peminta antara Muslim dan kafir, sudah tentu lebih besar pahalanya diberikan kepada si Muslim. Bagaimanapun, ia tidak menjadikan hukum HARAM untuk diberi kepada si bukan Islam.
Justeru ia kekal isu yang sangat furu’ dan bebas memilih dalam kedua-dua fatwa ulama. wallahu ”lam.  


Sumber: UtusanOnLine (Bicara Agama)
http://laman-seri.blogspot.com/2008/06/utamakan-akikah-daripada-ibadat-korban.html
http://ibnuabbas.wordpress.com/2007/12/12/hukum-daging-aqiqah/

No comments:

SEKAPUR SIRIH

Artikel berkaitan keagamaan,kesihatan, perkahwinan dan lain-lain di blog ini hanya kompilasi artikel yang dititip daripada akhbar, majalah dan internet. Blog ini memaparkan artikel yang ditulis sendiri dan artikel yang bukan ditulis oleh pemilik blog adalah koleksi peribadi, ada yang sefahaman atau sebaliknya dan bersandarkan kandungan Al-Quran. Pun begitu, janganlah membaca artikel-artikel di blog ini untuk menyangkal atau menyalahkannya, atau mempercayainya jua, tetapi bacalah menurut tujuan sebenar mereka ditulis, iaitu hanya untuk dipertimbangkan pembaca sahaja.
Tidak perlu menulis atau bertindak untuk mengecam, menghina atau mengkhianati kerana perbuatan serupa itu hanya memudaratkan diri anda sendiri.Firman Allah SWT, "Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa ia menyedihkan kamu, apa yang mereka mengatakan; namun begitu, bukanlah kamu yang mereka mendustakan, tetapi orang-orang yang zalim, ia adalah ayat-ayat Allah yang mereka menyangkal." (6:33)Pemilik blog bukanlah seorang pakar agama, pakar kesihatan mahupun pakar perkahwinan, justeru itu, pemilik blog tidak dapat menjawab sebarang pertanyaan profesional berkaitan hal ehwal agama, kesihatan, psikologi perkahwinan atau kaunseling rumahtangga dan undang-undang secara mendalam. Pengunjung dinasihatkan supaya mendapatkan bantuan pakar dalam bidang berkaitan bagi masalah / kemusykilan yang dihadapi.Kami sekadar berkongsi ilmu.

Mengamalkan apa yang disiarkan di blog ini tanpa merujuk kepada dalil daripada Al-Quran dan Al-Hadis yang semakna atau hampir semakna dengannya, bukanlah tindakan yang bijak. Yang baik datangnya daripada Allah SWT, yang buruk adalah kelemahan pemilik blog sendiri.
Terima kasih kerana berlapang dada membaca cebisan ilmu yang tidak seberapa di blog ini. Ilmu yang baik dikongsi bersama.

Popular Posts