CARIAN ANDA

Tuesday, November 30, 2010

POKOK BUNGA JEPUN





Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Hari ini Laman-Seri kongsikan satu lagi FloraFauna cantik, menarik ciptaan Illahi. Bunga Jepun adalah sejenis tanaman hiasan yang lazimnya ditanam sebagai pagar hidup. Di Malaysia, pokok ini banyak ditanam sebagai penaung pokok kopi dan teh, tiang hidup untuk dipanjat oleh lada, sireh, ubi dan vanila di negara lain. Dikenali juga dengan nama botaninya gliricidia sepium, pokok ini turut mempunyai khasiat ubatannya yang tersendiri.


Bunga Jepun ~ gliricidia sepium

~ closed up ~
Pokok bunga Jepun merupakan tumbuhan asli di negara Mexico, Amerika Tengah sehinggalah Colombia dan Venezuela. Selain itu, pokok ini banyak juga ditanam di kawasan tropika sebagai pokok hiasan dalam taman, tepi jalan, pokok penghalang angin kencang yang merosakkan tanaman dan pokok penambat tanah yang turut menghalang hakisan tanah.

Pokok bunga Jepun tergolong dalam keluarga Leguminosae. Pokoknya adalah dari jenis pokok berkayu tinggi dan mempunyai banyak dahan dan rangting. Daunnya berbentuk bulat dan berwarna hijau. Permukaan atas daun amat licin manakala permukaan bawah warnanya agak pucat. Pokok ini mempunyai bunga berwarna merah jambu



Terdapat juga sedikit tompok kuning atau putih pada bunga. Pokok bunga Jepun mempunyai buah jenis kekacang leper berwarna coklat tua. Daun pokok bunga Jepun mengandungi asid fenolik, fenol, favonol, kumarin yang berbau wangi, fosforus, hemiselulosa, kalium, kalsium, lignin, magnesium, nitrogen, polifenol dan selulosa. Bahagian pokok bunga Jepun yang digunakan untuk tujuan perubatan tradisional adalah daun, kulit pokok dan akarnya.

Bunga Jepun dikatakan boleh dimakan manakala daunnya jika dikeringkan dan kemudiannya direbus, airnya dikatakan boleh diminum begitu sahaja. Bagi tujuan perubatan, dikatakan daun segar pokok ini boleh diletakkan di bawah bantal bagi membantu mengatasi masalah sukar tidur.

Daun yang telah ditumbuk lumat dikatakan boleh dijadikan sebagai ubat pupuk bagi merawat sakit sendi jenis reumatisme, sakit kepala, sakit perut, bintik-bintik pada kulit akibat demam, kudis, luka, menyembuhkan tulang yang patah dan menghapuskan parasit seperti kutu dan cengkenit pada kulit.






Rawat busung

Daun pokok bunga Jepun juga boleh dihancurkan terlebih dahulu sebelum dijadikan ubat tradisional. Air daripada daun yang telah dihancurkan ini kemudiannya digunakan sebagai ubat sapu bagi merawat masalah gatal atau luka pada kulit.

Jika daun ini direbus pula, airnya boleh diminum untuk tujuan menyingkirkan hingus dan kahak, merawat busung, demam kuning, demam panas, gonorea, masalah ginjal, selesema dan sesak nafas. Air rebusan daun ini juga boleh dijadikan sebagai air mandian untuk merawat ruam panas, demam cacar, demam panas, penyakit kulit dan sakit-sakit.

Daun ini juga dikatakan boleh dikunyah dan kemudiannya ditelan untuk tujuan merawat selesema. Selain cara tadi, daun pokok bunga Jepun dikatakan boleh direbus di dalam susu dan kemudiannya dijadikan ubat merawat selesema.

Daun pokok bunga Jepun yang telah direbus dikatakan boleh dicampurkan dengan jus limau nipis untuk tujuan merawat penyakit kulit. Air rebusan yang telah dicampurkan dengan telur yang telah dihancurkan dikatakan boleh diminum untuk menyingkirkan kahak.

Kulit pokok bunga Jepun boleh ditumbuk lumat dan kemudian cecairnya diperah lalu disapu pada luka dan kulit yang gatal. Air rebusan juga boleh disapu pada penyakit kulit, terutama penyakit kulit yang berjangkit.

Air daripada akar pokok bunga Jepun yang telah ditumbuk lumat boleh disapu pada luka dan gatal-gatal kulit. Bagi anda yang mengalami masalah sakit kerongkong atau sakit tekak, dikatakan dengan mengunyah akar pokok bunga Jepun mampu mengurangkan masalah sakit tersebut. Air rebusan akar pokok bunga Jepun boleh diminum untuk merawat busung, demam kuning dan masalah ginjal.

Walaupun terdapat pelbagai khasiat ubatan pokok bunga Jepun, namun begitu penggunaannya perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari.


SUMBER
http://laman-seri.blogspot.com/2010/11/pokok-bunga-jepun.html

No comments:

SEKAPUR SIRIH

Artikel berkaitan keagamaan,kesihatan, perkahwinan dan lain-lain di blog ini hanya kompilasi artikel yang dititip daripada akhbar, majalah dan internet. Blog ini memaparkan artikel yang ditulis sendiri dan artikel yang bukan ditulis oleh pemilik blog adalah koleksi peribadi, ada yang sefahaman atau sebaliknya dan bersandarkan kandungan Al-Quran. Pun begitu, janganlah membaca artikel-artikel di blog ini untuk menyangkal atau menyalahkannya, atau mempercayainya jua, tetapi bacalah menurut tujuan sebenar mereka ditulis, iaitu hanya untuk dipertimbangkan pembaca sahaja.
Tidak perlu menulis atau bertindak untuk mengecam, menghina atau mengkhianati kerana perbuatan serupa itu hanya memudaratkan diri anda sendiri.Firman Allah SWT, "Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa ia menyedihkan kamu, apa yang mereka mengatakan; namun begitu, bukanlah kamu yang mereka mendustakan, tetapi orang-orang yang zalim, ia adalah ayat-ayat Allah yang mereka menyangkal." (6:33)Pemilik blog bukanlah seorang pakar agama, pakar kesihatan mahupun pakar perkahwinan, justeru itu, pemilik blog tidak dapat menjawab sebarang pertanyaan profesional berkaitan hal ehwal agama, kesihatan, psikologi perkahwinan atau kaunseling rumahtangga dan undang-undang secara mendalam. Pengunjung dinasihatkan supaya mendapatkan bantuan pakar dalam bidang berkaitan bagi masalah / kemusykilan yang dihadapi.Kami sekadar berkongsi ilmu.

Mengamalkan apa yang disiarkan di blog ini tanpa merujuk kepada dalil daripada Al-Quran dan Al-Hadis yang semakna atau hampir semakna dengannya, bukanlah tindakan yang bijak. Yang baik datangnya daripada Allah SWT, yang buruk adalah kelemahan pemilik blog sendiri.
Terima kasih kerana berlapang dada membaca cebisan ilmu yang tidak seberapa di blog ini. Ilmu yang baik dikongsi bersama.

Popular Posts